Seni Doh: Eskperimentasi aktiviti mudah dengan variasi faedah

Seni Doh: Eskperimentasi aktiviti mudah dengan variasi faedah

Seni Doh & Tanah Liat
Mary Ann F. Kohl
RM 15.00 / RM 20.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789830687933 
Tahun terbit: 2012
Jumlah muka surat: 149
 


"Ianya tentang proses, bukan produk yang terhasil" - MaryAnn F. Kohl

Atas dasar filosofi inilah, Mary Ann telah menulis beberapa rangkaian buku berkaitan aktiviti kanak-kanak untuk pelbagai peringkat usia. Sebilangan buku-buku tulisan beliau telah menerima pengiktirafan  dan anugerah.  MaryAnn juga aktif muncul dalam beberapa rancangan televisyen dalam prakarsa beliau untuk mengetengahkan aktiviti tanpa had kepada kanak-kanak. Maka tidak hairanlah saya terus 'jatuh cinta pandang pertama' ketika melihat buku Seni Doh & Tanah Liat terpapar di salah sebuah rak pameran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015.

Pendahuluan


Saban tahun saya mengunjungi PBAKL, pasti tidak pernah terlepas mencuci mata dan minda di gerai jualan ITBM. Jika ada slot di Sofa Putih ketika itu, saya akan mendengar hujah bahas panel pembentang dan kadang mengangguk sama sebagai tanda setuju. Sedikit berbeza, saya lebih kerap menghabiskan majoriti waktu di gerai ITBM dengan membelek buku-buku seni krafangan dan buku kanak-kanak.

Mungkin di kalangan orang awam, ITBM lebih sinonim dengan koleksi buku fiksyen dan bukan fiksyen, kumpulan puisi dan cerpen , buku-buku berunsur kebudayaan dan buku-buku terjemahan bersifat akademik. Justeru tidak hairanlah jika masih ramai lagi yang  kurang tahu bahawa ITBM juga memiliki sejumlah besar judul buku yang telah diterjemah berkaitan seni kraftangan dan seni kreatif.


Bukan mudah untuk mendapatkan buku seni kraftangan kanak-kanak yang efisien, malah lebih sukar pula mendapatkan yang berkualiti untuk dimiliki. Saya seolah terpukau dan menggosok mata yang tidak gatal. Apa tidaknya, saya selalu membuat doh bersama anak-anak dan buku ini seolah-olah datangnya 'bagai orang mengantuk di sorong bantal'.

Bersila di lantai gerai ITBM, saya terus membelek bahagian isi kandungan buku. Minda yang sedikit keletihan berjaya di segarkan  dengan melihat isi kandungan buku ini.





Kandungan aktiviti di luar kebiasaan


Buku yang ditulis MaryAnn F.Kohl ini menghimpunkan seribu satu macam seni doh yang begitu praktikal untuk dinikmati keasyikannya dengan anak-anak.  Pada hemat saya, MaryAnn telah berjaya keluar dari kepompong kebiasaan aktiviti permainan doh dengan berinovasi dan mengutarakan variasi aktiviti yang melangkaui kebiasaan perbuatan asas seperti menguli, membentuk dan bermain dengan bahan yang terbentuk. Puluhan aktiviti-aktiviti yang disarankan disertakan panduan eskplisit yang akan mengujakan sesiapa sahaja yang mencubanya.

"Bermain adalah kaedah pembelajaran yang paling disukai" - Diane Ackerman, Penulis Kontemporari Amerika

Anak-anak seawal usia kecil harus di ajar beraktiviti sihat bagi menajamkan skil kawalan motor mereka. Berdasarkan Konvensi Hak Anak-Anak PBB,  10 hak harus dipenuhi oleh setiap ibubapa atau penjaga terhadap anak atau jagaan mereka. Daripada sepuluh hak yang ditetapkan ini, hak untuk bermain diletakkan sebagai hak pertama.

Sesuai pula dengan prinsip UNESCO tentang 4 tunggak utama dalam seisi pembelajaran iaitu yang pertama, belajar untuk mengetahui (learning to know), yang kedua, belajar untuk melakukan (learning to do), yang ketiga, belajar untuk menjadi dirinya sendiri (learning to be), dan yang keempat belajar untuk hidup bersama (learning to live together).


Variasi faedah dengan aktiviti mudah


Pelbagai manfaat yang dapat diperolehi dalam aktiviti seni doh. Dari sudut fizikal, penyepaduan sensori dan pergerakan, anak-anak dapat menguatkan otot dan kordinasi tangan mereka ketika membentuk doh. Mereka juga dapat mempelajari impak bagi setiap perbuatan ketika bermain dengan doh seperti memicit, mencucuk, membentuk dan menggentel doh. Dari sudut emosi, mereka dapat menjana kreativiti dan menajamkan minda dengan mengenal warna, memikirkan bentuk yang ingin direka , merangsang upaya berfikir cara mencantum doh bagi membentuk sebuah binaan.

Malah sepanjang aktiviti ini, anak-anak mampu belajar mendengar arahan disamping membentuk jaringan kerjasama antara rakan-takan, adik-beradik bahkan dengan ibubapa. Secara holistik, aktiviti ini bukan sahaja mudah dilakukan malah mempunyai impak yang signifikan dalam membina hubungan akrab antara kanak-kanak dengan ibubapa.

"Dengan bermain, dan hanya bermain, seorang kanak-kanak malah orang dewasa sekalipun mampu untuk menjadi kreatif..." - D.W. Winnicott, Pakar Kanak-Kanak Britain


Keberkesanan simbol grafik sebagai mekanisme kawalan

Saya menjadi lebih kagum dan sangat teruja ketika memerhatikan simbol-simbol kecil yang tuntas di setiap penjuru kiri dan kanan helaian mukasurat. MaryAnn dengan bijaknya telah menggunapakai satu garis panduan mudah dengan meletakkan simbol-simbol grafik yang begitu signifikan supaya ibubapa dapat menyaring aktiviti paling sesuai dengan sekali imbas tanpa perlu membaca dengan terperinci setiap butiran aktiviti. Simbol-simbol ini tidak keterlaluan saya sifatkan sebagai mekanisme kawalan untuk setiap aktiviti.



Simbol-simbol grafik ini memainkan peranan besar dalam usaha membawa kanak-kanak dan ibubapa bersinergi dengan setiap cadangan yang dinyatakan. Contohnya terdapat aktiviti dengan simbol yang menyatakan campuran harus dibakar bagi mengekalkan bentuk atau objek terbentuk boleh dikekalkan dengan teknik pengeringan secara udara sahaja.












MaryAnn menggarap setiap aktiviti dengan proses yang teliti dan mudah untuk diikuti. Setiap satu boleh dilakukan sendiri oleh kanak-kanak dengan sebahagian besarnya hanya memerlukan pengawasan minimal daripada ibubapa. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana MaryAnn telah menulis  23 buah buku berkaitan dengan kanak-kanak dan keibubapaan.


Percubaan yang membuahkan hasil

Saya sendiri telah mencuba salah satu aktiviti di dalam buku ini bersama dua orang anak saya, Imran dan I'jaaz yang masing-masing berusia hampir 6 tahun dan 4 tahun. Saya memilih untuk menghasilkan doh yang boleh dimakan!   

Unik bukan? Ini bukan sahaja idea yang menarik malah turut menggalakkan kanak-kanak mengenal erti penggunaan setiap bahan selain memupuk sikap tidak membazir. Apa sahaja yang kami hasilkan nanti boleh terus di makan.

Malah lebih menarik, keputusan secara 'ad hoc' ini tidak sukar dibuat kerana kebanyakan aktiviti yang disarankan oleh MaryAnn menggunakan bahan asas yang sering digunakan di rumah seperti tepung, telur, gula, garam, pewarna dan sebagainya. 

Inilah kelebihan yang saya kira sangat penting dalam buku ini. Ramai ibubapa yang tidak mampu untuk terus menerus membeli bahan untuk aktiviti kanak-kanak yang biasanya mahal dan tidak berbaloi. Akan tetapi, dengan aktiviti-aktiviti yang disenaraikan di dalam buku ini, semuanya begitu mudah dan mengujakan!

Seperti yang diingatkan MaryAnn di awal pengenalan buku, kanak-kanak tidak perlu mencontohi hasil kerja orang dewasa namun ini tidak bermakna orang dewasa tidak boleh turut serta dalam aktiviti ini. Itulah yang saya cuba praktikkan.

Saya memberi kuasa penuh kepada kedua-dua anak saya untuk mengikut arahan yang ditulis di dalam buku ini. Daripada aktiviti menyukat setiap bahan, menggaul bahan-bahan tersebut hinggalah proses membentuk doh mengikut kreativiti dan citarasa mereka sendiri. Cuma aktiviti membakar doh di ketuhar dikendalikan saya atas faktor keselamatan.


Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya mencapai objektif aktiviti iaitu masa berkualiti, pergerakan motor , merangsang idea kreatif dan akhirnya menikmati juadah doh yang diuli sendiri.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti ini, boleh singgah ke pautan berikut:
Cara membuat doh yang boleh di makan

Konklusi


Jika diberi peluang dan ruang untuk saranan, saya akan mencadangkan MaryAnn dan penerbit untuk menambahbaik dari sudut grafik dan pewarnaan buku ini. Sebagaimana lazimnya buku kanak-kanak yang yang sarat dengan visual grafik berwarna-warni bagi menarik perhatian mereka dalam menterjemah isi kandungan selain membina keupayaan menganalisis melalui gambar.

Besar hasrat saya untuk menyaksikan lebih banyak buku MaryAnn diterjemah oleh ITBM dan dipasarkan di Malaysia. Malah saya berbesar hati sekiranya ulasan ini dapat membantu ibubapa di luar sana dalam memilih aktiviti yang sesuai di waktu cuti dan istirehat bersama keluarga. Sememangnya buku bernilai RM15.00 ini sangat berbaloi dan harus dimiliki setiap keluarga. Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai.

"Bermain, walaupun tidak mampu mengubah hakikat kehidupan kanak-kanak, masih mampu menjadi satu cara untuk mereka bereksplorasi dan menikmati setiap persamaan, perbezaan , keupayaan mencipta malah dalam jangka waktu singkat ini mereka adalah sama dan saling berkerjasama" - Patricia G. Ramsey, Pakar Fisiologi Amerika

Makanya, adakah saya akan mengesyorkan anda memiliki buku ini?


Pasti dan menjadi suatu obligasi!

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

5 comments:

  1. Hi salwa, where can we get this book? Is it available online?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi RohaniHashim,
      I bought it from ITBM at PBAKL. I think you can buy from their shop too. It's at Wisma ITBM, No. 2, Jalan 2/27E
      Seksyen 10, Wangsa Maju
      53300 Kuala Lumpur, Malaysia
      (603) 4145 1800
      Hope this helps

      Delete
  2. teruja!
    kena cari buku ni. Thanks salwa for sharing <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan, saya pun teruja juga! hehehehe
      u're welcome dear

      Delete
    2. menarik sangat buku ni.....mana bole dapata yerr?

      Delete