Surat terbuka cadangan belanjawan negara 2019

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohammad.

Sempena Belanjawan Negara 2019 yang akan datang, saya seorang marhaen dibawah pemerintahan kerajaan YAB ingin mencadangkan beberapa perkara yang diharapkan dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia:

1. Peruntukan untuk kemudahan wanita berkerjaya.
Saya menyambut baik cadangan dan pelaksanaan kemudahan nursery atau pusat penjagaan kanak-kanak diluaskan secara pesat untuk setiap kementerian dan seterusnya untuk badan-badan berkanun dan pihak swasta. Cadangan ini pernah saya utarakan ketika Belanjawan pada tahun 2014 tempohari kerana saya merasakan dengan adanya pusat penjagaan kanak-kanak di dalam satu bangunan yang sama dengan tempat si ibu bekerja, masa perjalanan dan tekanan dapat dikurangkan. Kebanyakan ibu bekerjaya menghadapi dilema apabila acap kali mendengar perkhabaran tentang kes penderaan. Ini adalah gangguan yang akan menurunkan kadar prestasi mereka secara tidak langsung.

Saya juga menyarankan kerajaan agar mengkaji sistem flexible hour untuk diguna pakai di Malaysia. Kita mempunyai ramai wanita yang hebat yang berpotensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara namun sebilangan dari mereka memilih untuk berada di rumah kerana waktu kerja yang tidak sesuai untuk seorang ibu. Ini merupakan kerugian besar kepada negara.

2. Program khas untuk memperkasakan wanita yang bekerja dari rumah

Saya pernah bekerja dengan syarikat minyak dan gas paling terkenal di Malaysia dalam bidang korporat selama beberapa tahun sebelum memutuskan untuk berhenti pada tahun 2013 kerana ingin menjaga sepenuhnya anak-anak dan keluarga. Saya menjadi Working-At-home-Mother (WAHM) sehingga kini dan melakukan banyak tugasan-tugasan dari rumah yang bersifat Freelancer.

Cabaran yang timbul masih banyak dan saya dapat melihat dari komuniti WAHM, mereka berdepan dengan masalah yang sama seperti kesukaran mencari penjaga yang sesuai apabila terpaksa sekali sekala keluar bekerja. Contohnya apabila perlu keluar mengajar atau perlu keluar untuk belajar. Anak-anak perlu dibawa bersama dan kebanyakan latihan tidak membenarkan anak-anak untuk dibawa.

Justeru, saya mencadangkan kerajaan mengekalkan dan mengembangkan fungsi skim latihan untuk surirumah dan WAHM di bawah Kementerian Wanita seperti program HEARTS kerana ianya memberi manfaat. Perkembangan yang saya maksudkan adalah penambahbaikan dari sudut latihan yang ditawarkan agar memenuhi senarai kompetensi yang diperlukan negara selain memberikan kelonggaran suasana latihan yang lebih mesra 'kanak-kanak'. Ini adalah penting supaya para surirumah dapat meneruskan pembelajaran dan latihan tanpa perlu disekat hanya kerana mereka tidak dapat mencari orang yang sesuai atau tidak mempunyai wang untuk menghantar anak-anak jika mereka perlu pergi belajar.

Saya juga mencadangkan agar skim seperti ini diberikan beserta dengan bantuan dari segi modal dan bahan yang didatangkan dalam konsep pinjaman boleh ubah. Ini dapat menjentik semangat mereka untuk mengusahakan bisnes dengan lebih serius dan bersungguh-sungguh supaya pinjaman tadi dapat diubah menjadi geran dan mereka boleh mengembangkan perniagaan ke tahap yang seterusnya.

3. Peruntukan pembangunan latihan untuk para usahawan diteruskan

Di samping menjadi penulis dan freelance designer, saya juga merupakan seorang Certified Master Trainer dibawah program eUsahawan kendalian Malaysia Economy Digital Corporation (MDEC). Seperti yang diketahui YAB, program seperti eUsahawan dan e-Rezeki telah memberikan banyak impak positif kepada usahawan-usahawan seluruh Malaysia setiap tahun. Ini sekaligus membantu dalam menaikkan perolehan KPDNKK negara selain memberi ruang kepada mereka untuk belajar asas keusahawan dengan lebih mudah dan praktikal.

Program seperti ini juga dapat dilihat impaknya secara langsung. YAB boleh melihat senarai janaan pendapatan daripada usahawan yang telah berjaya menerusi program-program seperti ini malah mereka juga bertindak menjadi tenaga pengajar selepas itu dengan memberikan motivasi dan pengalaman sebenar dalam dunia bisnes kepada usahawan baru. Besar harapan kami agar program latihan keusahawanan seperti ini terus di titik beratkan bagi melahirkan usahawan berjaya di Malaysia secara berterusan.


4. Peruntukan untuk pembangunan intelek negara. 

Saya memuji langkah kerajaan mewujudkan inisiatif seperti MyBrain15 yang mensasarkan terhasilnya seramai 60,000 graduan PhD menjelang tahun 2023. Alangkah baiknya jika program ini diteruskan dan diberikan naik taraf dan nafas baru dengan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar di peringkat sarjana muda  juga (sekarang terhad kepada sarjana dan doktor falsafah) yang datang dari golongan kurang berkemampuan untuk menikmati biasiswa yang sama terutamanya dalam bidang-bidang yang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya. Selain itu, faktor umur juga haruslah dikaji semula. Ini kerana usia di bawah 35 tahun mungkin efektif dalam memastikan tenaga kerja sentiasa segar dan kurang bermasalah dari sudut kesihatan namun dengan memberikan ruang kepada mereka yang berusia lebih 35 tahun untuk menyambung pendidikan, kita dapat meminimumkan masalah emosi dan ketidakstabilan kehidupan di samping menggunakan pengalaman yang ada untuk menyumbang dalam proses pembelajaran kelak.

Disamping itu, universiti-universiti tempatan juga haruslah diberi suntikan dana untuk menjalankan penyelidikan bermutu dan berstatus antarabangsa sebagai salah satu usaha menambah mutu dan kepercayaan orang ramai terhadap kualiti universiti tempatan yang kian merosot rangkingnya jika dibandingkan dengan universiti antarabangsa yang lain. Pelaburan dalam bidang pra persekolahan juga adalah penting demi memastikan tahap intelektual kanak-kanak dapat dioptimumkan seluasnya kerana minda mereka menyerap ilmu sebanyak 80% dari keseluruhan keupayaan otak ketika mereka berusia 4 hingga 8 tahun. Potensi mereka tidak harus dinilai hanya dengan pencapaian akademik semata-mata seperti yang berlaku sekarang. Justeru, program seperti Permata, Permata Kurnia, Permata Pintar adalah sangat baik untuk dikekalkan dan dibuat penambaikan bagi menghargai multiple intelligence di kalangan pelajar-pelajar kita.

5. Peruntukan untuk golongan bermasalah pembelajaran

Bercakap soal multiple intelligence dan pencapaian anak-anak secara tidak langsung membawa saya kepada cadangan seterusnya yang saya kira akan membawa begitu banyak manfaat buat sebilangan rakyat Malaysia. Golongan yang mempunyai masalah pembelajaran di malaysia masih tidak mendapat sokongan yang banyak baik dari sudut pendidikan, intervensi kesihatan malahan penerimaan masyarakat juga masih di tahap yang tidak memuaskan.

Sebagai seorang emak yang membesarkan anak-anak sebegini, saya juga tidak terlepas dari mengalami masalah kekangan kewangan kerana kos bagi menghantar setiap satu anak yang mempunyai masalah pembelajaran adalah tinggi apatah lagi pusat-pusat seperti Permata Kurnia yang disediakan amat terhad dan menolak permohonan mereka yang berada di parasa gaji tertentu.  Kami sekeluarga mencatu sehingga perbelanjaan makanan, tidak pergi bercuti dan sebagainya. Mujur masih juga mampu menghantar anak untuk satu dua aktiviti. Namun bagi mereka yang sememangnya kais pagi makan pagi, ini situasi yang sangat mendukacitakan.

Saya amat berharap kerajaan dapat menubuhkan lebih banyak program dan pusat yang khusus buat mereka yang berkeperluan khas. Cadangan seperti Sekolah Autism, Sekolah Disleksia, Sekolah ADHD dan sebagainya bagi saya relevan kerana ramai ibubapa sekarang lebih peka dengan keadaan seperti ini dan mengharapkan sokongan daripada kerajaan agar anak-anak ini membesar dalam keadaan mampu berdikari, mampu menguruskan urusan yang asas dan mampu menjadi warga yang menyumbang. Bukan sekadar dalam bidang akademik yang tidak menjadi kelebihan bagi mereka. Mereka ini mempunyai minat dan kelebihan dalam bidang lain seperti sukan, lukisan dan bidang lain. Sekiranya pendedahan dan sekolah-sekolah khusus seperti ini dapat dibina, saya yakin potensi kanak-kanak istimewa dengan masalah pembelajaran ini mampu digilap dan dapat mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

6.Peruntukan pendidikan dalam bentuk menyeluruh tetapi lebih terarah

Saya ambil maklum isu pendidikan ini selain dari bidang kesihatan adalah isu yang berpanjangan. Dari sudut silibus, merit, ko-kurikulum atau apa sahaja, sentiasa ada yang akan didebatkan. Namun izinkan saya menyentuh dari satu sisi yang berlainan. 

Bantuan pendidikan yang diberikan oleh kerajaan kepada keluarga mengikut per kapita adalah wajar dan baik, namun harus ditambah baik. Misalnya bantuan persekolahan RM100 untuk keluarga, harus dikembangkan mengikut kawasan dan kerakyatan. Misalnya, tidak boleh di sama ratakan mereka yang berpendapatan RM2000 di kampung dengan yang berada di pusat bandar. Hakikatnya ramai yang miskin bandar, tidak layak menerima bantuan dan sekolah di dalam bandar dipenuhi pelajar dari ibubapa warga asing yang akhirnya memenuhi senarai penerima bantuan. Mungkin kita ingin mengenepikan soal kerakyatan ibubapa pelajar kerana pendidikan untuk semua namun saya rasa sewajarnya bantuan ini diutamakan kepada rakyat sendiri yang membayar cukai, zakat, GST dan lain-lainnya.

Sebagai pengasas Projek Beg Sekolah, saya dan pasukan bergerak aktif mencari penerima yang layak bagi membantu mereka mendapatkan sebuah beg baharu menjelang sesi persekolahan. YAB akan tentu rasa sedih jika dapat melihat mereka yang tercicir dari senarai bantuan zakat dan bantuan lainnya kerana rumah jauh, tidak ada kenderaan dan malah kadang meminta anak membawa buku sekolah dengan sebuah beg plastik seperti yang kita dapat ketika membeli pisang goreng. Ada di kalangan mereka terpaksa berkongsi kasut dan baju sekolah. Baju yang sama dipakai abang sesi pagi dan berlari ke rumah untuk ditukarkan kepada adik di sesi petang. Mereka lah yang paling wajar mendapat bantuan sebenarnya.

7. Peruntukan lebih besar dalam bidang kesihatan

Amatlah menyedihkan pada tahun lalu apabila bajet untuk kesihatan telah di potong dalam kadar yang mungkin sedikit nampak pada angkanya namun sangat besar impaknya kepada pesakit-pesakit yang perlu rawatan susulan dengan konsisten seperti pesakit diabetis,darah tinggi dan jantung. Saya yakin, YAB telah menerima usul dari Kementerian Kesihatan tentang ini dan saya tidak berminat mengulas lanjut tentang keperluan kritikal bekalan ubat.

Namun izinkan saya untuk memberi saranan yang saya fikir amat kritikal di seluruh hospital di seluruh malaysia. Sejak dari tahun 1980-an sehingga kini, masalah PARKING di hospital-hospital kerajaan masih tidak ada penghujungnya malah lebih buruk apatah lagi untuk hospital besar di kawasan bandar. Bayangkan sudahlah menempuh trafik yang padat seawal pagi, terpaksa pula menghabiskan masa hampir sejam lamanya hanya untuk mencari parking! Di Hospital Serdang misalnya, terlalu kritikal masalah parking dengan tiada kemudahan transporasi awam yang dipercayai dan memudahkan urusan. Limpahan pesakit sangat luar biasa dan jika kereta diletakkan di bahu jalan sekalipun, akan di saman dan malah kadangkala dicuri. 

Saya minta jasa baik kerajaan untuk meneliti dan meluluskan pembinaan parking bertingkat untuk hospital-hospital terutamanya di kawasan bandar. Ini amat penting dan sangat membantu rakyat. Walaupun perlu membayar kadar untuk parking di parking bertingkat, saya yakin ramai yang akan setuju untuk membayar kadar minimum beberapa ringgit daripada terpaksa berhadapan risiko di saman, kereta dicuri malah terlepas temujanji.


8. Suntikan dana untuk pembangunan sukan. 
Saya yakin YB Syed Saddiq sedang memikirkan beberapa perkara penting dalam pembangunan sukan. Justeru, saya menyarankan agar belanjawan diperuntukkan untuk sains sukan, penambah baikan taraf fasiliti dan kemudahan sukan bukan sahaja untuk atlet, namun untuk rakyat secara amnya. Sains sukan adalah penting kerana kita tidak lagi hanya bergantung kepada kecergasan dan mutu atlet semata-mata. Ini harus disokong dan didokong dengan strategi, teknik dan tambahan idea unik untuk memperbaiki mutu permainan. 

Penubuhan akademi untuk sukan bagi golongan kanak-kanak dan remaja juga seharusnya ditubuhkan secara berpusat. Kita tidak boleh lagi sibuk dengan sukan yang difokuskan seperti bola sepak dan badminton yang tenggelam timbul prestasinya. Semua sukan harus di berikan pertimbangan adil. Sebagai contoh, negara jiran Thailand telah mengungguli Kejohanan Bola Tampar Wanita Asia dan kejohanan bertaraf dunia dengan mengalahkan dua kuasa besar dunia didalam arena bola tampar iaitu Jepun dan China. Ini jelas membuktikan ketinggian pemain bukan lagi isu namun kesungguhan Thailand dalam memastikan setiap pemain berkaliber dan mengatur strategi yang tidak dapat diduga oleh pihak lawan.

9. Belanjawan telus untuk semua kementerian.
Saya yakin setiap kementerian mengusulkan belanjawan yang disokong dengan kertas kerja dan perancangan teliti. Namun adalah menyedihkan apabila tiba dipenghujung belanjawan, kementerian berlumba-lumba merancakkan aktiviti yang tidak perlu diatas nama 'menghabiskan belanjawan' untuk tahun itu. Adakah perlu perjumpaan diluar kawasan didalam hotel bertaraf antarabangsa dengan doorgift juga makan malam gala yang serba mewah lengkap pula dengan cabutan bertuah ketika ramai rakyat masih makan malam hanya sesuap nasi dan sayur dimakan mentah-mentah?

Saya cadangkan lebihan belanjawan yang tidak diguna pakai dipulangkan kembali setiap kementerian agar dapat disalurkan kepada yang lebih memerlukan. Belanjawan untuk elaun-elaun para menteri, jusa dan yang selainnya juga haruslah dikurangkan ke paras minima contohnya elaun keraian. Ini kerana mereka telah mempunyai pendapatan besar mencecah puluhan ribu ringgit dan kos seperti kenderaan dan minyak perlulah ditanggung sendiri. Saya rasa ini tidak memberikan masalah jika ingin dibandingkan dengan kami rakyat pertengahan yang 'kais pagi, makan pagi; kais malam makan malam'. 

cadangan belanjawan, cadangan belanjawan 2019, cadangan belanjawan tahun 2019, belanjawan tahun 2019, belanjawan 2019, hantar cadangan belanjawan 2019



KESIMPULAN

Saya berhasrat ingin menulis lebih panjang. Namun cukuplah sehingga ini dahulu. Saya kekurangan masa kerana banyak hal ehwal rumahtangga yang perlu saya selesaikan pagi ini. Ditambah pula dengan kenaikan harga barangan dan harga minyak yang masih tenggelam timbul, saya juga perlu berkerja dari rumah untuk membantu suami meringankan beban perbelanjaan. Mungkin ada warkah lain akan menyusul untuk YAB selepas ini. 

Saya harap cadangan saya ini diambil perhatian oleh YAB dan kakitangan berkaitan. 

Salam mesra dari seorang surirumah, certified master trainer, blogger, penulis buku, freelancer designer, motivator dan jawatan-jawatan lain.

Salwa

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment