Dimanakah letaknya kedudukan seorang lelaki?

Assalamualaikum wbt
Isu cabul sekeping gambar, pemerkosaan dan pencabulan tanpa henti, penderaan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dadah, maaf jika menyinggung tapi statistik juga tidak dapat menidakkan ianya dilakukan majoriti kaum lelaki.

Tidak. Tulisan ini bukan untuk provokasi sama sekali. Sedang saya menulis ini juga dalam keadaan khauf wa roja'. Konsep dalam erti kata saya merasa خوف (takut akan sesuatu perkara/keadaan) dan dalam masa sama merasa رجاء (berharap semuanya kepada Allah).

Kenapa?

Kesemua anak-anak saya juga lelaki!
Apakah generasi yang akan diwarisi pada masa akan datang jika isu-isu seperti ini semakin hari semakin bernanah dalam masyarakat dan kadang boleh pula dijadikan bahan jenaka.

Saya bukan sesiapa.
Hanya seorang Emak yang makin risaukan keadaan dan amat berharap dapat mendidik anak-anak lelakinya menjadi orang-orang hebat, seperti sebilangan lelaki hebat yang saya kenal dan menjadi sanjungan.

Namun saya mahu menyeru, semua rakan saya, sesiapa sahaja yang mampu untuk mula berubah dan bertindak.
Hentikan lawak-lawak tidak baik walaupun konon hanya menghantar gambar wanita di whatsapp terutama di malam jumaat. Aurat tetap aurat. Tiada sesiapa tahu siapa yang boleh teransang nalurinya hanya dengan sekeping gambar dan kemudian bertindak di luar batas.

Para agamawan, tukarlah isi ceramah dari hanya menekankan peranan isteri yang taat pada suami, manisnya poligami, syurga buat wanita yang bertabah walaupun saban hari di pukul di maki, isi neraka yang majoritnya wanita dan segala macam yang seperti ini. Mulalah ajak kaum lelaki kembali pada fitrah sebenar menjadi ketua keluarga, bertanggungjawab dalam ehwal rumahtangga, faham maksud fitrah dan apa keperluan susah senang bersama.

Lupakan cerita-cerita sensasi yang tidak membuahkan apa-apa hasil terutamanya yang bersifat lucah, bersifat sinikal dan memperlekeh martabat wanita. Kembali dengan mendidik anak-anak menghormati ibu, isteri dan ahli wanita yang lainnya.

Didiklah anak lelaki untuk mengimbangi emosi. Menangis dan ketawa perlu ada supaya jiwa mereka adalah berjiwa manusia, bukan penuh kekerasan dan pembulian tak henti.
Sinsing lengan, bantu dalam urusan rumahtangga. Berhenti dari menyambung tradisi lama, wanita sahaja yang layak di dapur mengurus semuanya.

Saya yakin, kalau anda mampu buat satu sahaja dari perkara ini sebagai permulaan, ianya satu kebahagiaan buat isteri/ibu/adik wanita/anak perempuan anda. Percayalah.

Saya mendoakan kita semua ada kekuatan untuk berubah.
Wallahu'alam

Salwa,
Emak 3 hero Malaya

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment