Buli: Kita juga terlibat!

Assalamualaikum wbt
Mari saya kongsikan satu cerita yang berlaku kira-kira beberapa minggu lalu.

Rutin harian saya menjemput anak-anak pulang dari sekolah seperti biasa. Setelah mengambil I'jaaz, saya akan ke sekolah Imran pula. Hari itu, sewaktu sampai di perhentian tempat murid-murid menunggu, saya lihat Imran sedang mengejar 4 orang rakannya dengan marah sekali sambil menghambat mereka dengan tali leher kepunyaannya.
Saya perhatikan dari dalam kereta. Hingga akhirnya Imran dan rakan-rakannya sedar saya sedang memerhatikan dan mereka berhenti. Imran ambil beg sekolah, berjalan dengan muka sedih ke arah kereta. Masuk ke dalam kereta saya bertanya,

"Kenapa Imran kejar kawan-kawan Imran"

Imran terus menangis. Saya pujuk perlahan. Minta Imran ceritakan. Imran kata, kawan-kawannya mengejek dan mengajuknya.

Saya tidak pasti response anda yang lainnya. Bagi saya, di usia 8 tahun, mereka belum mumayyiz. Tidak dapat lagi membezakan dengan jelas perkara yang baik atau buruk dan masih mudah terpengaruh, NAMUN tidak pula harus dibiarkan tanpa di ajarkan apa yang betul dan salah.
Saya keluar dari kereta. Melihat saya keluar, keempat-empat rakan Imran mencicit lari masuk ke dalam pagar sekolah. Ketakutan. Itu saya pasti.
Saya masuk semula ke dalam kereta. I'jaaz dan Israa' terpinga-pinga dan Imran masih menangis.

"Takpe. Biar Emak cakap dengan diorang."

Setelah seminit dua, saya mengalihkan kenderaan dan menuju ke arah pagar sekolah. Mungkin mereka menyangka saya telah pulang kerana sewaktu saya keluar dari kereta sekali lagi, saya berjaya 'menangkap' kelibat salah seorang dari mereka. Anak itu cuba lari tapi saya tenangkan.

"Jangan lari. Acik tak marah. Mari, panggil kawan yang lain. Acik nak tanya sikit"

Anak itu akur. Perlahan berjalan ke arah saya. 3 rakan lainnya melihat seorang sudah 'menyerah diri' , terus datang juga. Bagus juga 'ukhuwwah' mereka ni.

"Boleh cerita pada acik, apa yang jadi sebenarnya ni?"

Anak itu diam. Pandang kawan. Tendang batu. Kemudian bersuara:

"Si polan (saya tak ingat namanya) yang mula ejek Imran. Dia cakap Imran amik DADAH"

At this point, saya terkejut. Budak usia 8 tahun, bercakap pasal dadah? Besar betul pengaruh TV dan media sekarang.

"Awak tahu tak yang disebut tu tak bagus? Dan ejek orang juga perbuatan salah?"

Anak itu mengangguk. Yang lain tunduk.

"Macam ni, boleh janji dengan acik? Lepas ni tak mahu sebut macam tu lagi. Dekat sesiapa pun. Kalau acik tahu, acik akan bagitahu pada cikgu dan cikgu disiplin. Angkat tangan macam ni, sebut promise boleh?"

Mereka akur. Angguk kepala lagi. Dan Imran sudah ada disisi saya ketika itu.

"Good. Sekarang acik nak semua orang minta maaf dan salam. Then big hug"

Imran bersalaman dengan rakan-rakannya. Kemudian mereka lari sekali lagi masuk ke pagar. Saya sedar perbuatan saya diperhatikan pak jaga dan beberapa ibubapa lain, tapi saya tidak endahkan. Saya masuk ke dalam kereta bersama Imran.

Menitis-nitis air mata Imran sedih. Saya katakan, lupakan. Tapi jika ada lagi berlaku, beritahu cikgu dan beritahu saya. Jangan sesekali balas ejekan atau pukul orang.
Dan setelah beberapa kali saya bertanya selepas itu, Imran kata tidak ada lagi ejekan. Saya harap begitulah seterusnya. Tidak pula saya katakan anak-anak saya berkelakuan sempurna. Tentu tidak! Ada ketikanya mungkin mereka juga sama. Mengejek, memukul, ketawakan rakan tapi siaplah jika saya dapat tahu!

Jadi, dimana salah kita?

Salah bila kita merasakan itu perkara biasa untuk anak-anak. Biasa untuk mengejek, mengajuk, berkata yang tidak baik kerana mereka masih kecil. Adakah itu benar? Tidak! Islam ajar, anak memang kain putih, tapi kita lah yang mencorak.
Lebih salah bila menasihati, jika ada yang pukul, lawan balik! Awak anak jantan, tak boleh menangis, tak boleh lemah.
Kata-kata ini mereka akan pendam. Emosi tidak dikeluarkan dalam saluran yang betul, lalu terkeluar dengan tindakan memukul. Bila yg dipukul menikus, rasa berani makin kuat dan makin kerap rasa harus memukul untuk 'survive'.

Yang dipukul pula dipesan berkali-kali jangan lemah dan jangan menangis. Maka berubah menjadi pemendam, pendendam, pemurung dan jadi depress.
Bukan setakat itu, memotong barisan, menolak kawan, mengambil peralatan tulis, meminta wang belanja dan banyak lagi hal lainnya baik di sekolah mahupun diluar sekolah.


Sifat dari kecil inilah yang jika bebas dibiarkan, menjadi habit yang sangat rutin dan dirasakan tidak apa. Normal. Itu memang survival untuk hidup. Dan lihat sesudah itu, apa yang kita hasilkan?

Pelajar senior membuli junior
Orang besar membuli pekerja di bawah
Pakar atau MO membuli HO
Pekerja lama membuli pekerja baru
Pembuli jalan raya
Pembuli siber @keyboard warrior

SALAH DAN SALAH DAN SALAH!

Jangan kerana pernah merasa, kita mahu membalas pula. Jangan kerana kita terseksa, kita menyeksa.
Jangan sampai nyawa jadi gantinya

Wallahu'alam

Emak
Anak 3 lelaki yang sangat risau

Nota tambahan:

Salam takziah kepada keluarga mendiang Nhaveen. Sekali lagi kita berduka. Baru semalam kita mendapat berita 5 pelajar didakwa dibawah seksyen 302 kerana membunuh (bukan membuli) Allahyarham Zulfarhan dan saya berkongsi perasaan ayahnya. Lega kerana mereka yang terlibat didakwa tetapi tidak gembira.

Mari saya ingatkan yang kita umat islam sedang berada didalam semulia-mulia bulan. Malah pada 10 malam terakhir. Janganlah biarkan puasa kita sia-sia dengan hamun dan cerca tak berkesudahan. Marah biar bertempat dan beradab, jangan pula keterlaluan.

Benar saya tidak simpati pada mereka yang didakwa. Kerana mereka ini sudah berakal, besar panjang, baligh dan wajib bertanggungjawab atas segala tindakan. Sama seperti kita yang dewasa ini. Terdapat beza amat besar antara tersalah langkah dan menempah langkah yang salah. Jika dinilai semula perbuatan mereka yang lansung tidak berperikemanusiaan, itu tindakan yang disengajakan. Orang yang pandai dan beriman, masih ada naluri manusia dan tidak pula tumbang dalam amarah semudah itu. Simpati saya pada keluarga mereka yang mungkin terkejut sama.

Saya berdoa, sebanyak-banyaknya agar semua keturunan dan generasi kita di hindarkan dari sifat ini dan tidak membuat perkara sebegini. Benar saya tidak tahu apa akan berlaku di masa hadapan, tapi saya akan terus bekalkan nasihat dan berdoa agar anak-anak saya terhindar dari melakukan perbuatan seperti ini.

Wana'uzubillah

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment