Selamat ulangtahun ke-7 Imran!

11.11.16 - Selepas 7 tahun

Hari ini Emak hilang kata-kata. Tiada puisi atau madah dapat Emak coretkan buat Imran. Sambutan juga tidak dapat Emak lakukan hatta sebiji kek buat Imran. Dalam mengejar masa, ada perkara yang lebih besar untuk di dahulukan. Dewasa nanti pasti Imran akan mengerti makna pengorbanan.

Imran sudah melangkah ke fasa lebih bermakna
Hidup Imran sudah perlu ada garis panduan supaya lebih jelas hala tujuan. Nabi juga berpesan, seumur Imran inilah harus diajari kenal tuhan.

Imran ingat pesan Emak

Tiada sesiapa makhluk di dunia pun akan dapat tumbangkan Imran, bila Imran meletakkan tekad di hati, pasak kaki ke bumi.

Tiada sesiapa pun selain diri Imran seorang yang mampu menghentikan segala tindakan. Baik kebaikan mahupun kejahatan. Pilihlah tindakan atas dasar iman.

Tiada pujian yang dapat melambung Imran tinggi mendongak ke langit sana, jika Imran tahu matlamat hidup di dunia. Kita hanya singgah menumpang, bawa lah bekal sebanyaknya ke sana.

Tiada kata-kata mampu mengguris hati kecil imran jika jiwa Imran besar dengan taqwa. Apa juga kebaikan yang bermain di fikiran, terjemahkan dalam tindakan. Yang melintas dari syaitan, Imran kuburkan dengan ingatan kepada Tuhan




Emak tak boleh selamanya menjaga Imran
Cuma doa, ilmu dan kasih dapat Emak bekalkan
Buat Imran tetap teguh menempuh perjalanan

Salam sayang dan selamat ulangtahun ke-7!

Emak

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment