PBS #2 di akhbar Harian Metro

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah di beri kesempatan buat Projek Beg Sekolah (PBS) sekali lagi muncul dalam media apabila Harian Metro sudi mewar-war kan projek beg ini pada 10 November lalu




Berita penuh tentang artikel ini boleh dibaca selanjutnya seperti di bawah:

Inspirasi Hidup Susah



Asrizal Aris

asrizal.aris@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Kehidupan sukar pada masa lampau mendorong saya melakukan aktiviti kebajikan.” Itu kata Salwa Mohd Saleh, 32, pengasas Projek Beg Sekolah (PBS) yang menyumbang ribuan beg sekolah kepada anak yatim, asnaf dan keluarga miskin.
Salwa berkata, ketika usianya enam tahun dia sudah membantu keluarganya bekerja di sawah dan ladang untuk mendapat upah bagi membeli peralatan sekolah tanpa membebankan ibu bapanya.
“Saya masih ingat lagi, kami adik-beradik memegang parang panjang ketika sekecil-kecil usia itu untuk menebas lalang, kemudian mengutip buah kelapa sawit yang relai lalu mengheret guni yang penuh berisi buah itu.
“Upahnya hanya 50 sen. Kami kumpul hanya untuk menunaikan impian kami membeli peralatan sekolah yang kami idamkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau mengakui perjalanan hidupnya itu menjadi inspirasi untuk mengasaskan PBS bagi menunaikan impian kanak-kanak kurang berkemampuan memiliki peralatan sekolah baru.
“Saya mula berjinak-jinak membuat aktiviti amal selepas mengikuti projek mangsa banjir dan pada mulanya saya hanya suka-suka menyediakan 300 beg hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada yang memerlukan.
“Tetapi, tidak sangka usaha kali pertama saya pada tahun lalu berjaya mengumpul 3,635 beg sekolah untuk diagihkan, malah menerima lebih 100 sukarelawan yang mahu menyertai PBS,” katanya.
Menurutnya, bagi projek beg sekolah edisi kedua ini dia menyasarkan 10,000 unit beg sekolah untuk disumbangkan kepada mereka yang bakal memulakan sesi persekolahan pada Januari 2017.
“Projek kedua ini dilancarkan pada 25 Oktober lalu dan mengharapkan sambutan daripada penyumbang menggalakkan seperti tahun lalu supaya dapat menceriakan lebih ramai kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
“Agihan akan dibuat di seluruh negara dan tiada sebarang pulangan yang kami harapkan melainkan melihat senyuman gembira daripada kanak-kanak ini,” katanya.
yang sudah cukup memuaskan hati kami,” katanya.
Menurut Salwa, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut atau berminat untuk menyumbang kepada aktiviti PBS boleh melayari media sosial Facebook Projek Beg Sekolah (PBS).
Keterangan gambar
1. Beberapa pelajar yang gembira selepas menerima beg sekolah melalui aktiviti PBS edisi pertama yang lalu.
2. Antara kumpulan pelajar yang menerima beg sekolah melalui PBS pada tahun lalu.
3. Salwa (dua dari kiri) menyampaikan beg kepada wakil sekolah untuk diberikan kepada pelajar miskin.
4. Salwa mengasaskan PBS berdasarkan kehidupan kanak-kanaknya dahulu.
tamat




Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 10:10 AM

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

1 comment: