Mengamati keindahan pantun Melayu

Mengupas nilai serangkap pantun

Saya paling minat seni berpantun. Berbanding puisi, seloka, syair, gurindam atau kiasan lainnya, pantun bagi saya adalah suatu yang unik dan mungkin juga kerana saya ada kenangan indah tersendiri dengan pantun.

Saya kenal dan mula mencipta pantun pada usia 8 tahun apabila terjumpa beberapa rangkap pantun yang diguna pakai kakak saya yang menyertai pertandingan pantun peringkat sekolah. Entah kenapa, hati saya terus tertarik dengan seni ini hingga saya dan pantun sangat sinonim di kalangan kenalan.

Imej asal dari Muzik Nusantara
Sekeras mana saya berusaha, masih belum pula saya dapat menandingi kehebatan orang dahulu kala berpantun. Saya mula tertarik dengan kajian demi kajian tentang pantun bermula dengan mendengar cerita Pak Ungku (Prod Diraja Ungku Aziz) tentang ketinggian nilai pantun klasik dan sejak dari itu saya mula mencari makna bagi pantun-pantun ini.

Mari perhatikan rangkap ini.

Air yang dalam bertambah dalam,
Hujan dihulu belumlah teduh;
Hati yang dendam bertambah dendam,
Rindu dahulu belumlah sembuh

Orang dahulu, bila menegur atau ingin menampakkan sesuatu emosi, masih dalam adabnya. Ada kias, ada santun. Teguran pula dalam bentuk yang tidak memalukan dan tinggi pula laras bahasa yang digunakan. Ini paling ketara dalam pantun Melayu klasik yang selalu kita dengar tapi jarang kita hadam maknanya.

Kebanyakan orang hanya memfokuskan kepada maksud pantun (baris ke-3 dan ke-4) dan rima di pengakhiran yang bersesuaian, namun lihatlah pantun ini. Bukan sahaja diolah dengan baik sekali dengan rima pertengahan dan pengakhiran yang sama, malah pembayangnya juga memberi gambaran akan maksud pantun ini. Kenapa air terus dalam? Kerana hujan belum teduh. Kenapa hati terus dendam (teringat-ingat)? Kerana rindu belum sembuh!

Lihat pula kepada pantun ini.

Apa guna memasang pelita,
Kalau tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain kata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.

Pembayang nya sendiri telah memberi awalan cerita bahawa tidak ada kebaikan dalam perbuatan yang tidak sempurna atau dikerjakan dengan sambil lewa. Ini juga adalah teguran secara tidak lansung dan disempurnakan dengan pemaksudnya yang menegur mereka yang pandai bercakap tetapi tidak dapat mengotakan apa yang diperkatakan.

Hebat bukan?

Mana-mana pantun klasik dahulu begitu padat dan tepat hingga yang membuatnya sangat layak di gelar GENIUS. Teringat saya pula kepada arwah abah yang gemar menggunakan peribahasa dan pantun dalam kehidupan dan urusan jual beli di pasar. Sejak kecil kami adik beradik sudah biasa mendengar ungkapan 'Bagai mengantuk di sorong bantal', 'Buang yang keruh ambil yang jernih' dan pelbagai lagi. Namun, ada satu pantun yang menarik hati saya.

Dalam semak ada duri,
Ayam kuning buat sarang;
Orang tamak selalu rugi,
Seperti anjing dengan bayang-bayang.

Kita tahu cerita tamaknya anjing dalam pantun ini. Dan akhirnya kerugian berpihak pada anjing yang kehilangan tulang. Sekarang mari lihat pula kepada pembayangnya. Telah dikatakan, didalam semak tersebut ada duri. Namun, ayam kuning yang tidak mahu telurnya di ambil orang, tetap mahu membuat sarang didalam semak yang akhirnya boleh merugikan diri sendiri.

Menarik bukan?

Bagaimana pula dengan pantun ini.

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan;
Kalau sungguh bagai di kata,
Jiwa dan raga hamba serahkan.

Ini antara pantun yang paling kerap di salah guna oleh orang moden. Jika ada tema percintaan, inilah rangkap pantun paling senang diucap sebagai tanda cinta dan setia. Sedangkan pantun ini jauh lebih besar nilainya.

Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis, sekutu-sekutu Melaka cuba menawan kembali kota ini dengan menyerang balas. Dan di antara sekutu tersebut adalah Demak (Jawa) yang menghantar armada untuk menawan kembali melaka pada tahun 1513. Pantun ini adalah kiasan atas semangat seruan jihad untuk mengembalikan kerajaan Islam Melaka.

Selain sejarah, latar belakang geografi juga diambil kira dengan baik sekali. Anda tentu ingat pantun ini;

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Pantun ni besar maknanya dlm ungkapkan keakraban kerajaan riau-linggi dan kepulauan Nusantara sekitarnya. Pulau pandan dan gunung daik betul2 wujud di kepulauan tersebut dan menjadi saksi hingga ke hari ini.

Sebenarnya banyak lagi yang ingin saya kupas tetapi cukuplah sehingga di sini sahaja. Ramai orang luar cuba mengkaji kehebatan pantun Melayu, dan janganlah kita tergolong dalam golongan yang merosakkan atau tidak mengendahkannya.

Sebagai pengakhiran, saya kongsikan filem klasik berjudul Gurindam Jiwa yang banyak mengetengahkan tentang tradisi berpantun. Selamat menonton!



Salam sayang,

Salwa

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

1 comment:

  1. Suatu kajiaan dan dapatan pengamatan yang sangat teliti dan menarik. Tahniah!

    ReplyDelete