Homeschooling #5: Ajar anak tentang masa yang berkualiti

Assalamualaikum

Bahang hangatnya PRU13 masih belum reda. Banyak yang masih lagi diperkatakan semua pihak terutama tentang beberapa isu berkaitan proses pilihanraya.

Bagi saya secara peribadi, banyak yang dapat dipelajari dari PRU13. Dari kempen dan perubahan drastik individu yang selama ini hanya diam membisu, hinggalah teori-teori dan konspirasi dan tak kurang fitnah sana sini membuatkan kita kenal siapa kawan siapa lawan

Saya tinggalkan kisah PRU13 dengan harapan yang menang menepati janji yang telah ditabur. Yang kalah mengambil peluang belajar lebih lagi untuk masa akan datang. Semuanya telah tersurat dan Allah Maha Mengetahui yang terbaik dan ianya takdir yang mesti diimani. Boleh baca satu entri lama saya - TAKDIR BUKAN KEBETULAN

Oh, saya mahu bercerita tentang Imran dan I'jaaz

Saya juga banyak belajar dari mereka berdua. Sewaktu dengan Imran, saya kekurangan masa. Tahun yang pertama saya berulang alik dari KL-Seremban. Kadang sudah malam baru tiba dirumah. Imran pun hampir lena ketika emaknya baru hendak membelai manja.

Ketika Imran masuk tahun kedua, emak pula mengandungkan I'jaaz. Imran mungkin kurang perhatian dan selalu diberikan gadget seperti iPhone untuk membolehkan emak berehat atau membuat kerja rumah. Masa untuk bermain ditaman pun sangat suntuk.

Itulah kesilapannya

Gadget menjadi sahabat setia dan kurang berlakunya komunikasi berkesan bukan sahaja dengan emak dan ayah, tetapi dengan rakan sebaya juga. Imran kurang bercakap (saya tidak gemar mengatakan atau orang mengatakan Imran tidak bercakap), lambat berkomunikasi, tidak bercampur dengan rakan dan sangat pendiam,

I'jaaz juga ditahun yang pertama menerima nasib yang serupa. Kualiti masa yang ada hanyalah sedikit dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana kebiasaanya emak akan sibuk mengemas dan memasak bila berada dirumah. Cuma I'jaaz dapat belajar dari Imran dan ada teman yang boleh dibuat bermain dan bergaduh.





Bila saya mengambil keputusan untuk berhenti dari bekerja, ada beberapa perkara yang dilakukan untuk memastikan keadaan berubah dan masa berkualiti bersama mereka dimanfaatkan sepenuhnya.

Waktu petang saya gunakan untuk bersama mereka. Kemudian sebolehnya selepas Asar saya akan bermain dengan mereka diluar rumah dengan permainan mudah seperti main basikal, main bola atau biarkan sahaja mereka berlari-lari dihalaman rumah sambil saya mencabut rumput.

Masa mandi juga adalah bonding time yang bagus. Saya ajar Imran dan I'jaaz untuk mengikut aturan seperti menanggalkan baju, masukkan dalam mesin basuh, mulakan dengan membasahkan badan, syampu rambut, sabun badan, bilas, gosok gigi dan lap badan. Sehingga kini, kalau satu aturan tersilap, Imran akan bising dan pastikan semuanya berjalan lancar terutamanya kalau emak tertinggal part berus gigi.

Makan malam juga adalah sangat penting. Walaupun saya masih kurang berjaya setakat ini untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 minit dihabiskan bersama dimeja makan. Waktu inilah ayah dan emak dapat bertukar cerita dan melayan anak-anak makan dan ini penting terutama bagi mereka yang bekerja. Inilah masa berkualiti paling kritikal dimana anak-anak dapat perhatian sepenuhnya.

Hasil dari masa berkualiti ini?

Saya dapat lihat sedikit demi sedikit

I'jaaz secara general nya lebih talkative, lebih cepat berkomunikasi (mungkin faktor mempunyai abang juga adalah signifikan), lebih cepat belajar dengan mengikut cara abangnya.

Imran pula lebih banyak menerima arahan dengan tepat dan belajar membantu dengan perkara yang ringkas dan mudah. Sifat protective Imran juga sangat ketara kerana akan cuba melindungi dan menjaga I'jaaz sebaik mungkin. Comel juga!

Imran juga dapat diajar tidak menggunakan drypers dan setakat ini boleh tahan juga penerimaannya.

Jadinya ibu bapa sekalian, belajarlah dan ajarilah anak anda tentang masa yang berkualiti. Mereka tidak akan tahu jika kita tidak beritahu dan tidak mempraktikkan dalam hidup kita.

Marilah cuba!

Love,

Salwa

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment