Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Kita selalu diperdengarkan dan diingatkan oleh orang lama seperti keluarga dan guru-guru sejak dari zaman sekolah lagi tentang keindahan bahasa dan keperluan berbudi dalam kehidupan seharian.
Akhlak santunan yang baik tidak dapat tidak berjalan seiring dengan keindahan seseorang itu dalam melantunkan bahasa sopan yang sedap didengar orang sekitar.
Jumaat lalu, Emak, Imran dan I'jaaz menemani Ayah ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk bertemu dengan seorang cikgu dari sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar. Tujuan pertemuan itu adalah untuk membincangkan tentang program bahasa di sekolah itu nanti dengan menjemput Ayah sebagai tetamu khas. Cikgu S pula pada hari itu menjadi pengerusi program penghayatan sastera dan bahasa dan menjemput kami turut serta menyaksikan persembahan dari anak-anak sekolah didikan beliau dan tetamu jemputan.
Sewaktu kami tiba, hadirin disajikan persembahan istimewa oleh Inspektor Foo dan seorang editor majalah Tunas Cipta. Gamat juga dewan dibuatnya oleh persembahan bersahaja tapi bertenaga oleh mereka berdua.
Persembahan dari anak-anak bimbingan Cikgu S juga tidak kurang hebatnya. Dari seloka, teater, puisi dan gurindam, semuanya dengan bahasa lunak merdu orang Melayu lama. Alangkah indahnya jika dalam dunia moden ini, kelunakan ini dapat menjadi faktor yang mengimbangi santun manusia dengan pesat teknologi. Sukar tapi tidak mustahil.
Kami turut bertuah kerana dapat menonton persembahan dari penyanyi tersohor negara, Uji Rashid bersama dengan anaknya, Cico Harahap. Merdu, sungguh!
Seusai semua persembahan, sewaktu menikmati jamuan ringan, Ayah berdiskusi sepatah dua dengan Cikgu S tentang program mereka. Imran dan I'jaaz bergelak ketawa dengan rakan baru mereka, Rindu yang merupakan anak Cico.
Emak hanya memerhati dari dekat dan jauh.
Bahasa ini tidak akan agung kembali jika bukan kita yang menyanjungnya
Apa dikejar bahasa asing, hingga bahasa sendiri dipinggir
Berapa ramai mengetawakan orang yang salah 'grammar' nya namun berapa ramai juga tidak segan silu malah tanpa bersalah menulis dengan tonggang langgang tanpa tatabahasa dalam bahasa ibunda!
Aduhai
Rasanya Emak ingin kembali menulis. Menulis dalam erti kata penulisan penuh beretika.
Oh, jangan khuatir
Bukan disini. Di saluran yang sepatutnya.
Mungkin
Entahlah
Teringat pantun lama
Tegak rumah kerana sendi,
Rosak sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Hilang budi hancurlah bangsa
Dimana agaknya hilang santunan budi dikala demam pilihanraya ini?
Dimana agaknya merdu lunak bahasa dikala semua orang dicerca?
Dimana agaknya luhur hati dikala semura orang dimaki?
Tepuk dada, tanya iman!
Sayang,
Salwa
* grammar is tatabahasa.
ReplyDeleteYes..exactly
ReplyDeleteCuba baca kembali dan fahami apa sebenarya yg nak disampaikan
Ya, sememangnya dimaklumi.
ReplyDelete