Membuat pilihan yang terbaik

Bismillah
Assalamualaikum warah matullah

Hujung minggu yang panjang. Ada yang pulang ke kampung halaman, tak kurang juga mengambil kesempatan menziarahi sanak saudara dan kenalan. Ada yang memilih tarikh ini untuk melansungkan perkahwinan. Apa juga yang kita lakukan ketika ini adalah satu pilihan dan yang pastinya pilihan itu dibuat sendiri dengan kerelaan atau dalam keterpaksaan.

Kurang seminggu lagi, saya juga akan berubah status. Dari seorang pegawai eksekutif di syarikat minyak dan gas terkenal di Malaysia kepada seorang suri sepenuh masa dan WAHM sambilan.Sesuatu yang sangat besar dan penuh dengan kebarangkalian namun itulah hakikatnya. Saya telah membuat pilihan untuk menjadi seperti ini (tentunya terima kasih kepada suami tercinta, anak-anak, keluarga dan rakan yang tidak jemu memberi sokongan).

Menjadi WAHM bukanlah suatu perkara yang semudah disangka.Bila anda memilih untuk berada dirumah, pastinya banyak perkara mencabar yang akan ditempuh yang tidak sama dengan kerja di pejabat. Malah, ada yang mengatakan menjadi WAHM jauh lebih sibuk dari para wanita yang bekerjaya. Betul atau tidak, saya masih kurang pasti. Pilihan ini saya akan tempuhi dengan sebaik mungkin kerana ianya adalah amanah Allah dan keluarga.

Anda juga tentunya banyak membuat pilihan dalam kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara seperti memilih sabun mana yang lebih baik untuk membasuh baju hinggalah kepada perkara besar seperti memilih sekolah yang paling sesuai untuk anak mengikuti seiisi pembelajaran.Mungkin dalam sebilangan perkara, pilihan yang kita lakukan tidak tepat. Jadi, bagaimana mahu membuat pilihan yang betul?

Istikarahlah. Ianya adalah sunnah

Setelah kita senaraikan baik buruknya sesuatu perkara, senaraikan juga akibat dan orang yang terlibat dari setiap pilihan. Janganlah kita memilih untuk mementingkan diri dalam pilihan kita hingga meminggirkan orang-orang yang telah banyak berjasa. Timbanglah dengan neraca iman. Dan sudahi keputusan itu dengan memohon bantuan Allah agar diberi petunjuk dan dipermudahkan dalam setiap pilihan.

Mungkin agak klise dengarnya, tapi ituah hakikat hidup





Bukan senang mahu senang
Walaupun kadang terlalu senang untuk senang

Kita pula harus bersyukur kerana dipilih Allah untuk berada dalam Deen yang sempurna ini. Renunglah firman-Nya:

Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): "Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam (Baqarah:132)


Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong.(Al-Hajj: 78)


Dan bagaimana jika pilihan kita bukan sesuatu yang tepat?

Redhalah.
Setiap umat ada ujiannya.
Begitu juga kita


Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah memgetahui, sedang kamu tidak mengetahui.  (Al-Baqarah: 216)


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan; "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut: 2-3)


Selamat membuat pilihan!


 



Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

1 comment:

  1. Salam.

    Very well written and soul-filing. Bravo, and thank you.

    ReplyDelete