Panduan memilih confinement lady ketika berpantang

Assalamualaikum wbt

Ada sesetengah dari kita, ketika berpantang akan pulang ke kampung. Saya juga begitu waktu anak pertama dan kedua kerana tiada pengalaman, lebih mudah urusan kerana tidak ada anak sekolah lagi dan memang lah nak duduk dengan emak abah kt kampung sebab suami bekerja dan tidak ada pengalaman nak jaga orang berpantang.

Bila dah masuk anak ketiga dan keempat, lebih banyak pula cabaran kerana anak yang pertama dan kedua dah besar, dah bersekolah dan tidak ada orang nak jaga jika saya pulang ke kampung. Jadi saya memilih untuk berpantang dirumah sendiri sahaja. Dan saya rasa ramai juga yang akhirnya akan berada dalam situasi yang sama seperti saya. Jadi saya cuba kongsikan serba sedikit tips untuk memilih confinement lady.


1: Tetapkan jangkamasa yang sesuai

Pertama sekali, perlu diingatkan, kita memang tidak kuat di hari-hari awal selepas bersalin. Kadangkala seminggu baru dapat keluar dari hospital jika bayi ada masalah kuning atau masalah lainnya. Macam pengalaman saya, saya biasanya keluar selepas hari keempat atau kelima. Sepanjang itu, ahli keluarga masih orang-orang kuat yang membantu kelancaran proses di hospital dan menguruskan anak-anak di rumah. Alhamdulillah, suami, keluarga saya dan keluarga mertua memang banyak sangat membantu.
Selepas seminggu barulah confinement lady datang. Biasanya pakej bermula dari 7 hari, kemudian 14 hari, 21 hari dan sebulan. Ada pula pilihan untuk stay in (tinggal Bersama) atau ulang alik setiap hari.  Pilih jangkamasa yang anda rasakan paling sesuai dengan keadaan dan budget anda dan sejauh mana anda selesa untuk confinement lady itu berada di rumah anda. Macam saya, untuk anak ketiga dan keempat, saya memilih hanya 7 hari sahaja kerana saya rasakan sudah cukup untuk rawatan dan bantuan pada tempoh itu.

2: Lihat perkhidmatan yang ditawarkan

Memang banyak sangat syarikat dan individu yang menawarkan perkhidmatan sebegini sekarang terutamanya di sekitar Lembah Klang. Jika nak dibandingkan dengan anak ketiga pada tahun 2014 dahulu, masih tidak banyak options yang ada namun bila saya survey pada tahun ini, sudah banyak perkhidmatan yang seumpamanya. Maknanya makin ramai juga orang yang memang perlukan khidmat seperti ini. Ada demand ada supply.





Secara asas, mereka akan tawarkan khidmat untuk urutan badan, bengkung, pilis. Kemudian khidmat lain seperti lulur, sauna/tangas, masak makanan, kemas rumah, penjagaan bayi, basuh baju adalah tertakluk kepada pakej dan syarikat. Maka, carilah yang paling anda rasakan sesuai dan yang paling anda perlukan.

Perlu teliti lihat senarai khidmat yang ditawarkan. Bagi yang kelihatan lebih murah, bandingkan berapa kali khidmat yang diberi untuk seminggu. Sebagai contoh, ada confinement lady yang mengurut setiap hari tapi ada juga yang hanya urut untuk 3 atau 4 kali sahaja seminggu. Begitulah juga untuk khidmat seterusnya.

3: Harga yang mampu milik

Ingat, murah tidak semestinya tidak baik dan mahal juga tidak semestinya sempurna. Namun, saya nasihatkan berhati-hati dengan pakej yang terlalu murah. Kadang boleh jadi kita terlepas pandang hidden cost seperti kos pengangkutan, kos yang tidak dinyatakan seperti bayaran lebih untuk mandikan bayi, urutan dan sebagainya. Malah, ada syarikat yang tidak menyediakan bahan-bahan rawatan seperti batu tungku, perkakas tangas, herba untuk pilis dan lulur. Jadi memang perlu pastikan setiap aspek sebelum tertipu dengan pakej yang kelihatan murah.

Teliti setiap pakej dengan baik dan bandingkan dengan syarikat lain supaya kita tahu perkhidmatan mana yang paling sesuai dan tepat untuk bajet yang kita ada.

4: Awas dengan testimoni

Kadangkala kita hanya lihat dari laman web atau blog tentang perkhidmatan mereka. Dan banyak testimoni yang diletakkan. Itu yang berlaku pada saya sewaktu mengambil khidmat confinement lady anak ketiga dahulu. Kerana percayakan testimoni dan bayaran juga agak berpatutan, saya mengambil confinement lady setelah melihat perkhidmatan yang ditawarkan.

Malangnya, banyak khdmat yang dijanjikan tidak dilaksanakan seperti lulur, bertungku dan beberapa hal lain. Setelah diadukan kepada majikan, rupanya majikannya pula menantu kepada confinement lady yang dihantar. Setelah 3 hari, saya terpaksa memutuskan untuk  menghantar pulang confinement lady tersebut kerana tidak mahu terus kecewa dengan perkhidmatan yang diberikan.

Belajar dari pengalaman, untuk baru-baru ini, saya telah siapkan jadual untuk senarai syarikat yang saya rasakan menawarkan pekhidmatan yang berpatutan dan yang saya perlukan. Kemudian saya dapatkan testimoni daripada rakan-rakan saya sendiri yang telah mencuba. Akhirnya dua syarikat menjadi pilihan terakhir dan setelah beberapa kali memikirkan, saya memutuskan mencuba salah satu kerana ada dua orang rakan saya telah mencuba perkhidmatan syarikat berkenaan. Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan khidmat confinement lady tempohari.




Kesimpulan:
Confinement lady memang membantu terutama bila kita tidak pulang ke kampung dan ibubapa kita juga tidak boleh selalu menemankan di rumah. Dan bagi saya, antara sebab utama saya ambil selain membantu untuk memasak adalah kerana rawatan yang saya sangat perlukan.

Selepas urut setiap hari selama seminggu, bertungku, tangas, lulur dan mandi herba, badan memang rasa lebih cergas dan lega. Jika anda ada bajet untuk mengambil mereka, saya sarankan untuk mencuba.

Moga membantu!

Love,

Salwa

#Emak4boys

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment