Selamat berehat Abah!

22 Ramadan 1437H

"Innalillahiwainnailahiraji'un"

Hanya itu yang saya mampu ungkapkan bilamana saya menerima panggilan dari kakak saya dengan suara esak tangis di hujung talian. Ketika itu sekitar jam 12 tengah malam. Suasana rumah sepi kerana semua sudah tidur termasuk saya dan hanya terjaga bila menerima panggilan tadi.

"Kami siap-siap dulu. Nanti kita jumpa di Sg Besi" jawap saya. Saya cuba hubungi abang saya yang tinggal di Kajang dan memaklumkan. Adik bongsu saya pula ketika menerima berita baru sahaja keluar dari tol setelah berhujung minggu di kampung. Terus sahaja berpatah balik dan masuk semula ke tol. Yang lainnya semua sudah dalam perjalanan.

Kemudian saya termenung sebentar di atas katil. Memikirkan saya sebenarnya telah menjadi anak yatim, ditinggalkan seorang abah yang sangat dikasihi dan abah takkan ada lagi di hadapan mata saya.

Perlahan saya kejutkan suami. Dengan mata terpisat-pisat suami saya bangun.

"Abah dah takde"

Spontan suami memeluk saya seeratnya. Dan mengusap belakang saya. Saya hanya mendiamkan diri. Bukan saya tidak sedih. Bukan saya hati batu tapi air mata saya tersekat. Tidak dapat keluar ketika itu. Hanya dapat dipendam dan berada dalam lubuk hati paling dalam.

"Bersiaplah. Nanti boleh gerak anak-anak"

Suami saya bangun dan mula membantu apa yang patut. Saya mengemas baju untuk dibawa balik, mengemas juga beberapa barang yang lainnya untuk bekal. Khamis yang lepas, selepas dimaklumkan abang sulung bahawa keadaan abah kembali tidak stabil, saya membawa anak-anak pulang selepas sahur untuk menjenguk abah di Hospital Teluk Intan.

Sejak 1 Ramadan abah telah disana. Sebelum ke hospital lagi abah sudah lama tidak sihat. Luka di kaki makin tidak baik. Dan petangnya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan ditidurkan. Hanya selepas dua minggu keadaan abah sedikit stabil dan di masukkan ke wad biasa namun tidak lama. Selepas itu kembali turun naik kondisinya.

Masih saya ingat, tengahari itu sewaktu melawat, abah sedar kehadiran saya yang dimaklumkan abang sulung saya.

"Ini kakwa datang ni. Kenal tak?" kata abang saya.

Abah mengangguk perlahan. Saya salam dan cium tangan dan dahi abah. Selepas dapat perkembangan sedikit sebanyak, saya bantu emak mengelap tangan dan muka abah. Dengan tuala kecil dan air sedikit, dapat beri kesegaran pada wajah abah. Abah kelihatan tenang. Sesekali mengangguk perlahan bila ditanya ingin dilap lagi atau ingin sesuatu yang lain.

Dan akan saya ingat sampai bila-bila, sewaktu saya minta izin untuk pulang, abah tidak memberi respon. Sama ada abah sedang tidak sedar atau tidak dengar, tidak pasti. Dan buat kali ketiga emak saya memberitahu:

"Kakwa kena balik. Anak-anaknya semua ada dirumah. Nanti takut Israa' memangis". 

Selepas itu baru abah mengangguk. Saya salam dan cium abah lagi. Saya katakan esok saya akan datang semula.

Esoknya, pada hari Jumaat saya membawa anak-anak untuk pulang semula ke Putrajaya dan singgah di hospital. Emak menjaga sebentar di bawah lobi kerana anak kecil tidak boleh masuk. Saya berseorangan naik ke atas. Waktu itu abah sudah tidak sedar semula.

Saya pandang wajah abah. Saya lihat mesin-mesin disekitar abah yang terus menerus beroperasi tanpa henti. Abah kelihatan tenang. Ada air hangat di tubir mata saya saat saya mencium dahi abah, memaklumkan saya perlu pulang. Jika ada rezeki, kita jumpa lagi. Dahi abah baunya begitu menyenangkan. Seperti bau abah kebiasaanya. Dan saya tidak pasti sama ada saya akan dapat lagi mencium dahi ini ketika masih ada hayatnya.



Setelah semuanya dikemaskan, dan dengan drama anak-anak dibangunkan, kami bergerak menuju lebuhraya. Kakak dan abang saya telah mendahului kerana saya sedikit lewat. Ketika mengisi minyak,  Israa' pula meragam dan kerana saya tidak larat memegangnya, saya memutuskan biar saya yang pandu pulang dan suami menidurkan Israa'

Sepanjang perjalanan, ditemani bacaan yaasin yang diulang berkali-kali dari telefon saya. Mulanya Imran dan I'jaaz masih berjaga tapi akhirnya mengantuk dan lena. Mereka masih belum dapat faham sepenuhnya penerangan saya. Sambil itu juga kenangan demi kenangan bersama arwah abah muncul satu persatu.

Keluar dari tol Sungkai, kakak dan abang saya sudah menunggu. Kami bersama-sama bergerak menghala Teluk Intan.  Di Ayer Hitam,  ada pula sekatan polis. Kereta yang dipandu abang dan abang ipar saya lepas tanpa banyak soal, tapi saya pula tersekat. Ditanya itu dan ini. Diminta lesen dan IC. Mungkin pelik jam 3 pagi seorang wanita membawa kereta? Mujur semuanya lancar dan saya dibenarkan meneruskan perjalanan.

Tiba di Teluk Intan, kami singgah ke restoran dahulu untuk membungkus makanan bagi sahur. Kami tahu, tentu keadaan di rumah sangat kelam kabut dan tiada persediaan sahur. Sekitar jam 4, kami tiba di perkarangan rumah. Ada beberapa kenderaan sudah ada.

Masuk ke rumah, di ruang tamu satu jasad terbujur di bawah selimut putih. Telah siap dimandi dan dikafankan dari hospital lagi kerana prosesnya yang rumit bagi mengelakkan jangkitan kuman kepada orang lain. Syukur abah dimandi dan dikafankan anak-anak lelakinya dengan bantuan staf hospital.
Saya cuba menerima dengan tenang. Itulah realitinya. Abah telah pergi. Di sisi abah, emak sedang tunduk. Adik perempuan saya menangis di tepi ruang tamu. Ada beberapa orang saudara bersama. Ipar duai saya lainnya berada didapur, menyediakan minuman dan makanan untuk sahur.

Akhirnya air mata saya tumpah ketika memeluk adik saya yang teresak-esak. Saya menyabarkan dan menenangkan. Dan adik hanya dapat beristigfar ketika itu. Perlahan saya beralih dan memeluk Emak. Insan yang tentunya paling sedih dengan pemergian abah. Benar, kami redha tapi kesedihan ini tentu belum ada ubatnya. Setelah puluhan tahun bersama, dan kini ditinggalkan, tentu perit rasanya.

Bila saya membuka kain yang menutupi wajah abah, sebak terasa. Inilah orangnya yang berhempas pulas membesarkan kami, mengorbankan segala yang ada untuk membuatkan kami berdikari, menasihati dalam tindakan, memarahi bila kami buat kesalahan, memberi kasih sayang hingga kami sudah besar panjang. Dan dia kini menghadap tuhan-Nya pada bulan penuh mulia.

Saya cuba kesat airmata yang tersisa, tidak mahu mencemarkan wajahnya. saya cium dahi sejuk abah. Saya mendoakan abah. Saya mengharapkan abah sedang tenang dan telah hilang segala kesakitan. Kemudian saya dan yang lainnya membacakan yaasin dan tahlil ringkas.

Sahur kami sederhana. Cuba menelan apa yang mampu. Walaupun seperti tersekat di kerongkong. Kemudian setelah Subuh, makin ramai sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai menziarah. Seperti lazimnya suasana kematian, keadaan sangat sayu dan penuh sulam air mata. Kami disisi abah terus menerus membacakan ayat suci Quran sebagai hadiah dan bekalan.

Sekitar jam 11 pagi, Solat jenazah dimulakan. Ketika hari masih belum panas supaya terus mudah urusan pengebumian.  Solat jenazah dibuat dua kali, kerana ramai jemaah yang turut sama dan tidak muat pula ruangan untuk dibuat serentak. Di imamkan adik bongsu saya dan kami yang lainnya mengikuti sebagai makmun di belakang.

Setelah selesai batch pertama, sementara menunggu batch kedua, saya bersama kakak dan adik perempuan didapur. Adik perempuan saya yang sentiasa berada bersama Emak dan abah, yang setia menjaga bertahun lamanya kelihatan sangat sedih. Saya bangun dan memeluknya sebelum kami pecah dalam tangisan. Kakak saya juga bangun dan berpelukan lah kami 3 beradik yang baru kehilangan abah.

Tidak lama selepas itu, kami ke depan ruang tamu. Melihat dan mencium wajah abah buat kali terakhir. Saya akui itu saat yang paling sukar. Hanya istigfar dapat mengubat sedih yang ada. Setelah jenazah abah diusung sebelum dimasukkan ke dalam van, abang sulung saya membuat sedikit pengumuman ringkas, dan beliau juga tidak dapat menahan sebaknya ketika itu. Kami sesama adik beradik berpelukan menenangkan sesama sendiri terutamanya Emak kami.

Jika ada yang terkilan, saya tidak dapat sama ke kubur. Saya menemankan Emak dirumah bersama saudara-saudara yang lainnya. Kebiasaannya memang saya akan menghantar jenazah hingga ke kuburan tapi pada waktu itu Israa' mahu tidur jadi saya hanya mewakilkan suami , Imran dan I'jaaz untuk turut sama dalam proses pengebumian.


Urusan selepas itu seperti biasa. Kami bersama-sama berhimpun 3 hari dirumah menemankan Emak dan adik perempuan sebelum masing-masing harus pulang meneruskan tugas sedia ada.

Dan tentulah raya tahun lepas sangat suram dan disambut ala kadar sahaja. Raya akan datang ini juga tidak akan semeriah dulu dengan suara abah mengingatkan lampu dan kipas perlu ditutup, dimarahi jika membazir air, diingatkan jangan membeli banyak sangat makanan, dan paling tidak akan sama, sesi salam di pagi raya.

Abah, kami semua rindukan abah
Hanya doa dan amal bakti dapat kami kirimkan moga dapat jadi bekal buat abah
Suatu hari nanti kita pasti akan bertemu kembali
In sya Allah dalam syurgaNya yang abadi

Al-Fatihah

Kakwa, 
Anak Abah

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

2 comments:

  1. Sedey nya baca. Semoga roh arwah Abah Salwa ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

    ReplyDelete