Dimana kita meletakkan posisi seorang GURU?

Assalamualaikum wbt

Saya menggagahkan tangan untuk menulis isu ini yang telah tertangguh beberapa kali. Pedih rasanya hati dengan keadaan sekarang yang telah banyak berubah

Pantang ada sedikit isu, berbondong-bondonglah yang menyerbu. Menyalahkan dari semua sisi, seolah-olah seorang guru adalah makhluk Allah persis malaikat. Tidak boleh cacat cela tugasnya dan harus sempurna. Tahukah anda betapa mulianya seseorang yang mengajar hatta satu huruf sekalipun?

Jika zaman dahulu, profesion sebagai guru adalah begitu tinggi, mulia dan dihormati masyarakat sekeliling, sekarang lain pula kisahnya. Zaman berubah, norma batas adab dan budaya juga makin terhakis sama. Guru dipandang sebagai satu kerja. Tugas yang diberi gaji dan harus dilaksanakan mengikut KPI kementerian, sekolah dan ibubapa murid-murid.

Keputusan murid teruk dan tidak cemerlang, guru dipersalahkan sekolah dan kementerian.Keputusan anak tidak seperti yang di jangka, guru juga jadi mangsa ibubapa.
Jujurnya, apakah yang dikejar semua? Pencapaian akademik berpuluh A namun sahsiah murid dan ibubapanya makin tidak nampak bayangnya.



Sewaktu suami dan saya mengambil laporan peperiksaan pertengahan tahun taski anak sulung kami, kesemua 3 orang guru berwajah ketat, kelat dan serba serbi tak kena. Setelah duduk dan ditunjukkan laporan, mereka menerangkan perlakuan anak saya di taski. Kata mereka, mereka sangat takut dimarahi saya kerana pencapaian keputusan peperiksaannya.

Saya hanya tersenyum memandang suami. Selepas itu, saya pula yang memberi penerangan tentang anak saya dan betapa saya tidak meletakkan apa-apa 'expectation' dan mahu anak saya seronok ke taski, bergaul, belajar dan berkomunikasi tanpa ada tekanan. Hanya setelah itulah wajah-wajah guru ini bertukar dan mula senyum, menampakkan kelegaan.

Dapatkah anda bayangkan tekanan mereka?

Dimana pula adab kita dengan guru? Hebatkah kita dengan kerjaya menongkat langit jika tanpa guru yang memberi ilmu? Dulu kita tidak kenal huruf pun. Malah di ajar pula pelbagai pengetahuan hingga sekarang menjadi seseorang yang berjaya.

Sejak dari saya tadika hingga ke universiti, belum pernah seingat saya berlaku kurang sopan atau membenci mana-mana guru. Dari segala macam agama, bangsa malah negara. Guru yang mengajar atau tidak mengajar, semuanya saya layan sama mesra. Saya memang rapat dengan guru-guru saya. Bukan kerana saya membodek, tapi saya hormat mereka.

Bukanlah pula bermakna saya disayangi semua. Di setiap sekolah (kecuali universiti) ada sahaja pihak yang kurang senang/iri dan menyampaikan cerita tidak enak kepada guru lain. Saya tidak kisah walaupun akhirnya cerita itu sampai kepada saya malah ada guru terang-terang membenci saya. Saya masih layan dengan saksama. Jika saya ziarah sekolah, semua guru saya beri cenderahati. Tidak pula saya beri pada yang sayang saya sahaja. Kerana guru harus dihormati!
Masih ingatkah kita pada guru-guru kita? Jika sukar ziarah, angkatlah tangan doakan kebaikan.

Dan sekarang bila anak-anak disekolahkan, mengapa menganggap guru hanya satu perkerjaan? Sukarkah menghormati guru yang mendidik anak? Jika anda rasa guru juga berubah dan kerja hanya utk gaji, apa kata serahkan soal niat mereka kepada Tuhan. Walau apapun niat guru, output tetap sama. Mereka beri ilmu dan mengajar anak anda.

Namun, jika anda sehebat yang di kata, keluarkanlah anak anda dari sekolah dan didiklah penuh kasih sayang dan kesabaran tanpa sedikit pun kesalahan di rumah. Itu mungkin lebih baik untuk anda

Dan saya, jika pun saya tidak menyekolahkan anak saya di sekolah suatu hari nanti, bukan kerana saya tidak hormat pada guru atau saya rasa saya hebat. Option tersebut mungkin saya ambil atas keperluan anak saya yang perlukan perhatian istimewa untuk disinarkan bakatnya.

Wallahu'alam

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment