Pahala takut kepada Allah

Assalamualaikum wbt

Hari ini saya ingin berkongsi kembali satu entri yg pernah saya tulis sewaktu sambutan Maulidurrasul 6 tahun yang lepas.

Penulisan ini adalah ilham dari salah satu kisah/bab yang juga termuat dalam buku ‘DI ATAS SEJADAH CINTA’ hasil kumpulan kisah dan karya penulis temporary terkenal Indonesia, Kang Abik@Habiburrahman El-Shairazy.

Mudah-mudahan kisah ini juga dapat memberikan sedikit ‘siraman’ keatas jiwa kita. 

***************************************************************************
PAHALA TAKUT KEPADA ALLAH

Kisah ini adalah riwayat dari sebuah hadith Qudsi tentang balasan yang diberikan oleh Allah kepada orang yang takut kepadaNya.

Sangat-sangat mengujakan bilamana Pencipta kita, adalah sangat besar dan amat-amat Agung kasih dan sayangnya, begitu Dia adalah ar-Rahman, Ar-Rahim yang mengampunkan dosa kita walau sebanyak buih lautan sekali pun dengan syarat, kita tidak menyekutukanNya.

Mari kita lihat bersama terjemahan hadith Qudsi ini:

Rasululullah S.A.W bersabda:

“Ada seorang lelaki tidak pernah berbuat kebajikan sama sekali.Lelaki itu berwasiat pada keluarganya: “Jika aku mati, maka bakarlah aku lalu lumatkanlah aku jadi abu.Kemudian taburkanlah abu itu sebahagian di darat dan sebahagian lagi di laut.Demi Allah, jika Allah sampai menghisabku pasti akan mengazabku dengan azab yang tidak pernah ditimpakan pada seorang pun di alam semesta!”

Tatkala lelaki itu meninggal dunia, keluarganya melaksanakan apa yang telah ia wasiatkan kepada mereka.Lalu Allah memerintahkan pada daratan untuk mengumpulkan abu yang disebar didaratan itu.Juga memerintahkan lautan untuk mengumpulkan debu yang disebar dilautan itu.

Kemudian Allah SWT bertanya (pada lelaki itu setelah dihidupkan kembali):

“Kenapa kau lakukan ini?”

Lelaki itu menjawap:

“Kerana aku takut kepadaMu Tuhanku, dan Engkau lebih tahu itu.”

Allah SWT lalu mengampuninya.”





**********************************************************************************

Perhatikan kawan-kawan sekalian,

Betapa besarnya rahmat keampunan yang Allah berikan kepada hambaNya. Hatta sang hamba tidak pernah melakukan walau sekelumit kebajikan, namun kerana MASIH ADANYA RASA TAKUT dan gerun atas siksaan Allah, akhirnya lelaki itu diampuni.

Perlu juga diperhatikan, rasa takut akan azab itu menyebabkan lelaki tadi berwasiat yang ‘tidak masuk akal’ . Kerana apa? Kerana beliau jahil dan tidak tahu bahwa Allah mampu melakukan apa sahaja dan mampu mengumpulkan hatta sebesar zarah sekalipun debu mayat itu.


Yang menariknya, kenapa lelaki itu sampai membuat wasiat yang ‘kurang bijak’ seperti itu? 

Kerana lelaki itu mahu selamat dari azab Allah!

Hitungkan dalam hidup seharian kita. Kita ini hambaNya yang yakin akan pahala dan dosa, yakin juga akan syurga dan neraka. Malah, lebih ‘alim’ dan ‘arif’ layaknya jika nk dibandingkan dengan lelaki tadi.


Namun, rasa takut kita pada azab Allah adakah sekurang-kurangnya sebanding dengan rasa takut si lelaki dalam hadith qudsi tadi? 

Ataukah lebih dan amat malang, andai rasa takut itu jauh lebih kurang sehingga kita sewenang-wenangnya berbuat sesuka hati dimuka bumi?

Tepuk dada, tanya jiwa. Iman kamu ada atau tiada. Tebal atau nipis selimut cintaNya.
“Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi katakanlah 'kami telah tunduk', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar
 (Al-Hujuraat: 14-15)


Wallahu’alam
Moga ada khair dan berkah dalam setiap amal.

Wassalaam
18 Rabi’ul Awal 1429H
26 Mar 2008

Salwa Mohd Saleh

A WAHM of 3 boys who wish to be extraordinary.

No comments:

Post a Comment